Proses Permohonan dan Pembaharuan Sijil Perakuan Bomba

Proses Permohonan dan Pembaharuan Sijil Perakuan Bomba

Perihal sijil perakuan bomba sewajarnya sudah menjadi suatu perkara yang anda ketahui, lebih-lebih lagi jika anda seorang pemilik bangunan atau premis. Sijil ini membuktikan bahawa bangunan anda berjaya mematuhi kehendak kebombaan yang telah diperuntukkan.

Malangnya, ramai yang masih belum peka tentang sijil tersebut. Malah, ada segilintir pemilik bangunan yang tidak tahu akan kewajipan untuk mendapatkan sijil perakuan bomba.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hasil pemeriksaan mendapati 2,665 premis di seluruh negara tidak mempunyai sijil perakuan bomba. Hal ini perlu dipandang serius supaya aspek keselamatan kebakaran tidak terabai.

Memahami kepentingan isu ini, kami di Palcon menyediakan artikel ini untuk mengongsikan beberapa perkara penting yang anda perlu tahu tentang sijil tersebut. Teruskan membaca untuk tahu lebih lanjut!

Apakah itu Sijil Perakuan Bomba

Sijil perakuan bomba merupakan sebuah sijil yang memastikan sebuah bangunan atau premis mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan selamat untuk dihuni. Sijil ini diberikan oleh JBPM kepada premis yang dikategorikan sebagai premis ditetapkan.

Mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (setakat 1 Oktober 2018), Seksyen 33, jika bangunan yang ditetapkan tidak mendapat sijil perakuan bomba, pemilik bangunan akan dikenakan denda (tidak melebihi RM50,000), penjara (tidak melebihi 5 tahun) atau kedua-duanya.

Sijil ini mengesahkan bahawa sistem keselamatan kebakaran seperti sistem pemercik api, sistem pengesan kebakaran, dan sistem penggera berfungsi dengan baik. Selain itu, ia turut memastikan bangunan tersebut mempunyai prosedur pengungsian yang betul, langkah pencegahan kebakaran, dan pelan tindakan kecemasan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Keperluan mempunyai sijil ini bagi premis ditetapkan telah dinyatakan secara jelas di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 Bahagian 5 Seksyen 28 (pindaan 2020) (Akta 341). Seksyen tersebut menyatakan bahawa:

  1. Tiap-tiap premis ditetapkan hendaklah memerlukan suatu perakuan bomba.
  2. Suatu perakuan bomba boleh dibaharui setiap tahun.
  3. Subseksyen (1) tidak terpakai bagi premis yang disediakan bagi, dan digunakan semata-mata atau terutamanya untuk, sembahyang keagamaan awam, atau premis yang terdiri daripada atau termasuk dalam rumah yang diduduki sebagai tempat kediaman persendirian yang berasingan

Kategori premis ditetapkan adalah seperti jadual berikut:

Penggunaan Premis yang Ditetapkan Mengikut KegunaanSaizTempat
Perpustakaan2,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai)Seluruh Malaysia
Hospital dan Rumah Rawatan2,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai);
5 tingkat dan ke atas
Seluruh Malaysia
HotelKoridor terbuka
– 100 bilik dan lebih bagi setiap blok;

Reka bentuk lain
– 2 tingkat hingga 3 tingkat dengan 101 bilik dan lebih;
– 4 tingkat dan ke atas dengan 51 bilik dan lebih
Seluruh Malaysia
Asrama dan DormitoriKoridor terbuka
– 10 tingkat dan ke atas atau 5,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai);

Reka bentuk lain
– 6 tingkat dan ke atas atau 3,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai)
Seluruh Malaysia
PejabatKetinggian 30 meter ke atas atau 10,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai)Seluruh Malaysia
Kedai3,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai)Seluruh Malaysia
Kilang1 tingkat
– 2,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai) yang dipasang dengan sistem semburan automatik;

2 tingkat dan ke atas
– 2,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai) yang dipasang dengan sistem semburan automatik;

Struktur khas
– Proses berbahaya
Seluruh Malaysia
Tempat PerhimpunanBangunan di bawah aras pelepasan diri 1,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai);
Tempat perhimpunan 2,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai)
Seluruh Malaysia
Storan dan AmTempat letak kereta bawah tanah melebihi 2,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai) yang dipasang dengan sistem semburan automatik;
1,000 meter persegi dan lebih (keluasan jumlah lantai) atau 7,000 meter padu dan lebih, yang dipasang dengan sistem semburan automatik
Seluruh Malaysia

LIHAT LAGI: Memahami Keperluan BOMBA Untuk Bangunan Anda

Cara Permohonan Sijil Perakuan Bomba

Jika anda mempunyai premis baharu, permohonan boleh dilakukan sejurus selepas premis anda mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (Certificate of Fitness – CF), Sijil Kelayakan Menduduki Sementara (Temporary Certificate of Fitness – TCF) atau Certificate of Completion and Compliance (CCC).

Anda boleh melakukan permohonan di mana-mana Ibu Pejabat JBPM Negeri atau Pejabat Zon Bomba berdekatan yang merupakan pejabat memproses dokumen mengenai permohonan Perakuan Bomba.

Maklumat-Maklumat Yang Perlu Disediakan

  • Borang I
  • Salinan CCC atau Sijil Layak Menduduki (CFO)
  • Pelan bangunan yang telah diperakui oleh JBPM semasa pengeluaran CCC/CFO
  • Surat pemilikan premis terkini
  • Hakmilik tanah
  • Salinan cukai pintu
  • Lesen perniagaan

Seterusnya, pihak JBPM akan menentukan satu tarikh untuk memeriksa premis anda. Sekiranya semua sistem serta pemasangan keselamatan kebakaran anda berada dalam keadaan optimum, anda akan mendapat perakuan bomba dalam tempoh 5 hari dari tarikh pembayaran dibuat. Tempoh kuat kuasa sijil perakuan bomba ini adalah selama 12 bulan.

Walau bagaimanapun, jika sistem kebakaran dianggap tidak memuaskan, anda akan menerima notis yang menggariskan keperluan tambahan untuk diubah bagi mendapatkan kelulusan pemeriksaan. Seterusnya, anda akan diberikan 360 hari untuk mematuhi sepenuhnya keperluan baharu.

LIHAT LAGI: Pili Bomba: Apakah Perbezaan Antara Warna Merah dan Kuning

Cara Pembaharuan Sijil Perakuan Bomba

Sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun. Anda boleh memperbaharui sijil anda menggunakan Borang III tidak kurang 30 hari sebelum tempoh perakuan bomba anda tamat. Bayaran untuk pembaharuan sijil pula adalah separuh daripada pembayaran sijil perakuan bomba anda yang pertama.

Tapi ingat, jika anda lewat untuk menghantar permohonan pembaharuan perakuan bomba, anda boleh dikenakan penalti sebanyak RM100. Sebarang permohonan pembaharuan yang dilakukan selepas tarikh tamat tempoh perlu menggunakan Borang I dan mengemukakan bayaran penuh seperti permohonan kali pertama.

Pengubahsuaian atau Perubahan Keadaan bagi Premis Ditetapkan

Semua premis yang telah memperolehi sijil perakuan bomba tidak boleh melakukan sebarang pengubahsuaian. Hal ini demikian kerana, operasi tersebut boleh mengakibatkan sistem perlindungan kebakaran tidak mencukupi.

Sebelum melakukan sebarang kerja pengubahsuaian, anda perlu mengemukakan pelan reka bentuk sistem perlindungan kebakaran baharu kepada BOMBA untuk disemak. Selepas pelan baharu telah disemak dan diluluskan, pihak BOMBA kemudiannya akan memeriksa bangunan untuk menentukan sama ada pelan itu memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Setelah premis lulus pemeriksaan, anda boleh membuat bayaran yuran mengikut Jadual Bayaran Perakuan Bomba di bawah untuk sijil bomba. 

Premis DitetapkanPerakuan Bomba (RM)Perakuan Bomba yang Diperbaharui (RM)
1. Perpustakaan300.00150.00
2. Hospital dan Rumah Rawatan400.00200.00
3. Hotel500.00250.00
4. Asrama dan Dormitori300.00150.00
5. Pejabat400.00200.00
6. Kedai500.00250.00
7. Kilang1000.00500.00
8. Tempat Perhimpunan300.00150.00
9. Penstoran dan Premis Lain500.00250.00

LIHAT LAGI: 5 Risiko Kebakaran Yang Dihadapi Oleh Perniagaan Di Malaysia

Bolehkah Anda Merayu Keputusan Yang Dibuat oleh BOMBA?

Anda boleh melakukan rayuan jika keputusan yang dibuat oleh BOMBA adalah notis penolakan atau keputusan seperti tersebut:

  1. Ketua Pengarah enggan mengeluarkan perakuan bomba;
  2. Syarat yang dikenakan oleh Ketua Pengarah ke atas sijil perakuan bomba yang dikeluarkan; atau
  3. Sebarang keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah.

Kesalahan-Kesalahan di Bawah Perakuan Bomba

Berikut merupakan perkara-perkara yang perlu anda elakkan:

  1. Membuat pengubahsuaian pada premis ditetapkan yang mempunyai perakuan bomba tanpa notis.
  2. Tidak mematuhi arahan untuk mempunyai pemasangan keselamatan kebakaran yang mencukupi.
  3. Tidak mempunyai perakuan bomba.
  4. Memalsukan sijil perakuan bomba.
  5. Membuat apa-apa pernyataan atau memberi apa-apa maklumat palsu semasa permohonan perakuan bomba.
  6. Memindahkan, menyerahkan, atau membenarkan pihak ketiga untuk menggunakan perakuan bomba anda.
  7. Tidak mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai perakuan bomba yang hilang atau musnah.
  8. Tidak mengemukakan maklumat sebagaimana yang dikehendaki.
  9. Tidak mempamerkan perakuan bomba pada setiap masa.

Mohon Sijil Perakuan Bomba Anda Sekarang!

Palcon menyediakan perkhidmatan permohonan sijil perakuan bomba yang profesional untuk memastikan bangunan anda sentiasa mematuhi peraturan keselamatan kebakaran yang ditetapkan. Perunding keselamatan kebakaran kami yang berpengalaman sedia untuk memudahkan proses permohonan anda. Hubungi pasukan kami untuk lebih maklumat.

Share:

Recent

We Are Here to Help

Get in touch with our experts to know more about our range of fire protection solutions.