Litar pintas merupakan satu perkara yang perlu dipandang serius kerana ia merupakan salah satu penyebab utama berlakunya kebakaran elektrik. Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai punca litar pintas dan ia boleh terjadi melalui pelbagai cara dan dalam keadaan yang berbeza?
Tidak kira sama ada kebakaran elektrik berlaku di pejabat, kediaman, mahupun kilang, litar pintas dianggap sebagai “silent killer” atau pembunuh senyap yang mampu mengakibatkan kebakaran teruk. Masyarakat umum perlu cakna tentang konsep, punca, dan cara pencegahan litar pintas.
Oleh itu, kami di Palcon telah menyediakan artikel ini untuk mengongsikan informasi penting mengenai litar pintas. Mari kita mulakan dengan meneliti definisi litar pintas.
Definisi Litar Pintas
Litar pintas adalah sejenis kerosakan dalam sistem elektrik yang terjadi apabila berlaku keadaan abnormal dalam litar elektrik. Keadaan ini merujuk kepada persentuhan tanpa beban pada litar yang mengalirkan arus elektrik. Hal ini seterusnya menyebabkan lebihan arus elektrik mengalir bukan mengikut litar yang telah ditetapkan lalu mengakibatkan lebih banyak haba.
Buat peralatan elektrik, litar pintas selalunya tercetus oleh penebat wayar elektrik lama yang telah reput atau koyak. Manakala, buat bekalan elektrik sesalur, litar pintas biasanya terjadi antara dua fasa:
- wayar fasa dengan wayar neutral
- wayar fasa dengan wayar bumi
LIHAT LAGI: 5 Punca Kebakaran di Tempat Kerja dan Tips Pencegahan
3 Punca Litar Pintas di Malaysia
Seperti yang telah dibincangkan di atas, terdapat variasi punca litar pintas. Di sini, kami kongsikan tiga punca utama tercetusnya litar pintas di Malaysia:
1. Wayar Yang Longgar
Aliran elektrik yang tidak konsisten adalah disebabkan oleh wayar longgar atau tidak disambungkan dengan betul. Hal ini seterusnya meningkatkan kebarangkalian litar pintas. Wayar yang longgar dan melorot juga boleh menyebabkan dua wayar bersentuhan dan secara tidak sengaja mencetuskan litar pintas.
2. Penebat Yang Rosak
Wayar elektrik dilengkapi dengan penebat untuk mengelakkan wayar daripada bersentuhan dan mengakibatkan litar pintas. Namun, disebabkan usia, wayar elektrik boleh haus dan lusuh. Hal ini boleh mengakibatkan wayar bersentuhan, lalu menyebabkan aliran elektrik yang tidak diingini dan akhirnya litar pintas.
3. Litar Elektrik Yang Terbeban
Beban elektrik yang berlebihan juga merupakan punca utama litar pintas. Lebih banyak beban, lebih banyak elektrik yang mengalir ke dalam litar. Hal ini menyebabkan litar terbakar dan rosak kerana impedans yang tinggi. Bergantung kepada skala kerosakan, perkara ini akan mencetuskan kebakaran atau “blackout”.
LIHAT LAGI: Proses Permohonan dan Pembaharuan Sijil Perakuan Bomba
Cara Untuk Mencegah Kebakaran Litar Pintas
Penjagaan Wayar Elektrik
- Pertama sekali, elakkan menyambung wayar secara berlebihan menggunakan “extension“. Kemudian, periksa dan gantikan wayar yang telah lama atau rosak. Anda juga perlu pastikan plug dan soket elektrik tidak longgar serta jauhi peralatan elektrik daripada air.
Alat Pemadam Api
- Satu komponen perlindungan kebakaran yang perlu ada di bangunan anda ialah pemadam api yang sesuai dengan jenis kelas kebakaran. Bagi kebakaran elektrik (kelas E), anda boleh sediakan pemadam api kabus air, pemadam api serbuk kering, atau pemadam api karbon dioksida (CO₂).
Sistem Pemercik Api
- Selain itu, anda boleh mengelakkan kebakaran elektrik peringkat awal daripada menjadi luar kawalan melalui pemasangan sistem pemercik api (sprinkler system) di tempat yang strategik. Sistem ini memainkan peranan penting dalam membantu meredakan api dengan efisien.
Sistem Penggera Kebakaran
- Sistem penggera kebakaran juga perlu ada untuk memastikan bangunan anda mendapat perlindungan kebakaran yang optimum. Fungsi sistem penggera adalah untuk mengesan kebakaran serta memberikan amaran kepada penghuni bangunan untuk melakukan pengungsian bangunan dengan serta-merta.
- Jika diintegrasikan bersama sistem pemercik api, sistem penggera juga boleh mengaktifkan sistem pemercik secara automatik. Hal ini seterusnya dapat membantu mengawal serta menamatkan kebakaran dengan segera.
Sekarang, anda telah tahu tentang maksud, punca, serta cara pencegahan litar pintas. Jadi, jangan lupa untuk manfaatkan ilmu tersebut dan amalkan tips pencegahan untuk mengurangkan risiko berlakunya litar pintas dengan efektif.
Pencegahan Kebakaran Litar Pintas Efektif Bersama Palcon
Palcon menyediakan pelbagai sistem perlindungan kebakaran berserta servis dan penyelenggaraan berkualiti yang direka khas untuk memenuhi keperluan keselamatan di bangunan anda. Kunjungi laman web rasmi Palcon untuk dapatkan lebih maklumat mengenai perkhidmatan dan solusi yang kami tawarkan.