Kami pasti anda pernah melihat pili bomba yang dipasang di tepi jalan. Mungkin anda perasan bahawa terdapat dua warna berbeza di Malaysia. Apakah perbezaannya, dan adakah kedua-dua jenis pili tersebut mempunyai fungsi berbeza?
Bagi menjawab persoalan tersebut, kami kongsikan penjelasannya di sini. Sebelum itu, mari kita terokai definisi pili bomba serta kepentingannya terlebih dahulu. Selamat membaca!
Apakah Itu Pili Bomba
Sebagai salah satu komponen perlindungan kebakaran aktif, pili bomba memainkan peranan yang amat penting dalam usaha memadamkan api. Hal ini demikian kerana, pili bomba adalah sumber atau instrumen utama untuk mendapatkan bekalan air tersedia bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran.
Secara umumnya, pili bomba boleh dikategorikan kepada:
1. Jenis Bawah Tanah (Under Ground Hydrant)
Pili bomba jenis bawah tanah dilengkapi tanda tiang ‘H’. Muncung dan injap pili jenis ini terletak di ‘chamber pit’ sedalam kira-kira 1½ kaki berkedudukan dalam jarak 1 hingga 2 kaki daripada tiang ‘H’.
Bekalan air diperolehi dengan menyambungkan ‘stand pipe’ pada muncung. Perkara ini dilakukan dengan membuka injap yang sedia ada di ‘chamber pit’ pili tersebut.
2. Jenis Bertiang (Pillar Hydrant)
Pili bomba jenis bertiang pula ialah pili yang sering anda lihat di tepi jalan. Pili ini tidak didatangkan dengan sebarang penanda. Sebaliknya, tiang pili ini sendiri dianggap sebagai penanda.
Muncung pili jenis ini terletak pada tiang tersebut. Bekalan air diperolehi dengan membuka injap yang terdapat di dalam ‘chamber pit’.
LIHAT LAGI: Memahami Keperluan BOMBA Untuk Bangunan Anda
Kepentingan Pili Bomba
Pili bomba merupakan titik sambungan untuk pihak berkenaan seperti bomba dan kontraktor api bertauliah untuk mendapatkan bekalan air dengan cepat dan mudah. Secara tidak langsung, jika alat ini berfungsi dengan baik akan menjamin kesiapsiagaan pihak berkenaan untuk menangani kebakaran dengan efektif.
Pada tahun 2019, sebuah kilang pemprosesan ayam di Seri Kesang, Jasin, Melaka telah terbakar. Akibat kekurangan bekalan air, pihak bomba terpaksa berulang alik lebih tiga kali ke lokasi sumber bekalan air yang terletak lebih tiga kilometer dari premis kilang tersebut. Hal ini seterusnya melambatkan proses pengawalan kebakaran api.
Justeru itu, dapatlah dirumuskan bahawa pili bomba bukanlah suatu perhiasan. Ia merupakan komponen yang amat penting untuk mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta.
Perbezaan Warna Merah dan Kuning
Pili bomba dicat dengan warna yang terang dan menonjol supaya senang dikesan semasa kecemasan. Malah, di beberapa tempat, bahagian atas pili juga dicat menggunakan warna berbeza untuk menunjukkan jumlah gelen per minit atau ‘gallons per minute’ (GPM) air yang dapat dikeluarkan oleh pili tersebut.
Berdasarkan MS 164:1992 dan MS 1932:1936 ‘Specification for Pillar Hydrant: 5”, pili bomba di Malaysia perlu dicat menggunakan ‘coating’ warna kuning bagi pili yang dimiliki oleh swasta. Buat pili awam pula, ia menggunakan ‘coating’ warna merah (‘signal red’).
Anda mungkin tertanya, apakah pula perbezaan diantara kedua-duanya?
1. Pili Bomba Awam (Merah)
Alat ini adalah suatu aliran pemasangan bomba yang disambungkan dengan bekalan air yang tidak bermeter. Pili jenis ini tidak dimiliki oleh mana-mana premis persendirian, dan biasanya diletakkan di tepi jalan.
2. Pili Bomba Swasta (Kuning)
Manakala, alat ini pula adalah suatu aliran pemasangan bomba yang disambungkan dengan bekalan air bermeter ke sebuah premis atau ‘compound’. Pili jenis ini dimiliki dan dipasang oleh premis persendirian seperti gudang, kilang, dan sebagainya.
Namun, anda perlu ingat, pili bomba tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya baik awam mahupun swasta. Hanya pihak profesional terlatih sahaja yang boleh mengendalikan alat tersebut.
LIHAT LAGI: Bagaimana Sistem Pengesan Kebakaran di Malaysia Berfungsi
Dapatkan Sistem Yang Boleh Dipercayai
Di Palcon, kami menawarkan sistem pili bomba yang berkualiti tinggi untuk melindungi premis dan bangunan anda daripada kebakaran. Selain itu, kami juga menyediakan variasi sistem perlindungan kebakaran serta perkhidmatan penyelenggaraan yang menyeluruh demi menjamin produk dan sistem anda senantiasa berada dalam keadaan terbaik.