Latihan kebakaran atau latihan keselamatan kebakaran merupakan antara persediaan utama untuk menghadapi bencana kebakaran. Ia perlu dilaksanakan supaya pekerja dapat memahami dengan lebih mendalam tentang cara menyelamatkan diri dan mempraktikkan cara tersebut dalam situasi yang terkawal.
Malah, latihan kebakaran sewajarnya dilaksanakan dengan kerap untuk mengurangkan risiko kecederaan, menyelamatkan nyawa perkerja serta mencegah kerosakan harta benda. Tidak dinafikan lagi, latihan yang efektif mampu memastikan kesinambungan perniagaan anda selepas berlakunya masalah kebakaran.
Mengapa Latihan Kebakaran Perlu Dijalankan?
Terdapat beberapa sebab penting mengapa latihan wajib dilakukan.
1. Memastikan Penggunaan Peralatan yang Betul
Latihan keselamatan dapat mengajar pekerja untuk menggunakan peralatan pencegahan kebakaran dengan selamat dan berkesan. Selain itu, latihan ini juga dapat membantu memastikan semua peralatan berfungsi dengan baik serta mengenal pasti peralatan yang perlu dibaik pulih.
2. Mengelakkan Kecederaan dan Kerosakan
Latihan kebakaran adalah bahagian penting untuk menghindari kecederaan dan kematian berlaku di premis pekerjaan anda. Dengan latihan yang betul, pekerja boleh menyelamatkan diri daripada bencana. Tidak lupa juga, ia dapat menghalang atau mengurangkan kerosakan pada aset dan bangunan anda.
3. Digalakkan oleh OSHA
Menjalankan latihan keselamatan adalah aktiviti yang digalakkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, atau Occupational Safety and Health Administration (OSHA). Hal ini untuk memastikan pekerja sentiasa berwaspada dan cakna tentang amaran kebakaran serta boleh mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kebakaran.
Cara Mengendalikan Latihan Kebakaran dengan Tepat
Sebelum Menjalankan Latihan
Sebaik sahaja anda merancang untuk melakukan latihan keselamatan, anda perlu mengenal pasti perkara yang ingin dipantau. Sebagai contoh, anda boleh pilih untuk memantau sekiranya semua kakitangan dapat mengosongkan bangunan dengan teratur. Anda juga boleh memantau jika peralatan pencegahan kebakaran seperti alat pengesan asap atau pemadam api berfungsi dengan sempurna.
Dalam kalangan pekerja, sekurang-kurangnya seorang ketua pemerhati dan timbalan harus dilantik untuk menyelia latihan dan memastikan semua pekerja mengikuti latihan tersebut. Mereka yang bertanggungjawab untuk mengendalikan latihan kebakaran perlu mendapatkan latihan khusus untuk melaksanakan tugas dengan efektif.
Anda juga diingatkan untuk mengambil langkah yang sewajarnya jika tempat kerja anda mempunyai sistem penggera automatik yang memaklumkan pihak bomba secara terus apabila ia berbunyi. Hal ini untuk mengelakkan daripada pihak bomba datang untuk keadaan bukan kecemasan.
Semasa Menjalankan Latihan
Semasa latihan sedang dijalankan, para pengendali dan pemerhati perlu ditempatkan di sekitar premis untuk memantau apa-apa kemungkinan yang boleh berlaku. Kemudian, mereka boleh mencadangkan sebarang penambahbaikan berdasarkan pemerhatian yang telah dijalankan selepas latihan tamat.
Jika bangunan anda mempunyai lebih daripada satu laluan keluar, anda digalakkan untuk menyekat pintu keluar utama. Hal ini untuk menggalakkan pekerja menggunakan laluan kecemasan atau laluan keluar alternatif. Secara tidak langsung, perkara ini dapat menyediakan pekerja untuk situasi kebakaran sebenar jika bahagian keluar utama tidak dapat digunakan.
Pastikan proses pengungsian bangunan (building evacuation) direkodkan untuk melakukan analisis serta dijadikan panduan untuk latihan yang seterusnya. Para pemerhati juga perlu melakukan “headcount” untuk memastikan semua pekerja dapat keluar dengan selamat. Para pemerhati juga perlu memeriksa bangunan seperti di dalam tandas dan ruangan pantri supaya tiada pekerja yang tertinggal.
Selepas Menjalankan Latihan
Sesi analisis ringkas perlu dilakukan selepas latihan tamat untuk menilai keberkesanan prosedur pengungsian bangunan. Anda juga boleh mendapatkan khidmat agensi perlindungan kebakaran bertauliah di Malaysia seperti Palcon untuk memastikan latihan anda dijalankan mengikut prosedur yang sepatutnya.
Secara keseluruhannya, latihan keselamatan kebakaran merupakan salah satu aspek penting keselamatan dan antara cara terbaik untuk memastikan tempat kerja anda lebih selamat. Untuk menjamin keselamatan manusia dan harta benda, kami menyediakan perkhidmatan latihan kebakaran yang praktikal dan pragmatik.
Layari laman web rasmi Palcon untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan dan penyelesaian yang kami tawarkan. Anda juga boleh ajukan soalan kepada kami melalui borang yang disediakan.